Sunday, July 31, 2011

Welcome Ramadhan Al- Mubarak..

Dengan nama Allah yg Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT kerana kita semua umat islam bakal menyambut bulan yang paling mulia ramadhan Al-Mubarak. Syukur ke hadrat Illahi kerana Dia masih memberi kesempatan dan peluang untuk kita berpuasa dan menjalani ibadah-ibadah yang lain bagi merebut pahala dan ganjaran di bulan yang penuh rahmat dan berkat ini. 

Sebagai umat islam, ketibaan ramadhan perlulah disambut dengan penuh kesyukuran kerana Allah masih memberi peluang untuk kita memperbaiki diri dan memastikan ramdhan ini adalah ramadhan yang terbaik dan penuh bermakna. Sesungguhnya nikmat bulan ramadhan ini terlalu besar dan rugi jika kita tidak memanfaatkan bulan ini dengan sebaiknya.

Permulaan ramadhan adalah rahmat, pertengahan keampunan dan penghujungnya adalah kebebasan daripada api neraka. Semoga kita semua akan mengecapi rahmat Allah yang terlalu berharga di bulan yang penuh berkat ini, beroleh keampunan Allah atas dosa-dosa yang kita lakukan selama ini dan seterusnya dapat menjauhkan diri daripada api neraka. Memang terlalu besar nikmat dan anugerah daripada Allah SWT di bulan ramadhan Al-Mubarak ini dan jika difikirkan memang rugi jika tidak menghayati erti ramadhan itu dengan sebaiknya. 

Salah satu keistimewaan ramadhan adalah malam Lailatul Qadar yang sering diperkatakan apabila tibanya bulan yang penuh rahmat ini. Setiap orang pasti mahu merasai kedatangan malam ini tetapi   bukan mudah untuk kita merasai nikmat dan ganjaran malam lailatul qadar ini jika tidak berusaha untuk menghidupkan ibadah-ibadah di malam hari terutama di 10 malam terakhir. Lailatul qadar merupakan salah satu dari malam-malam Ramadhan, di mana keistimewaannya dikatakan menyamai bilangan seribu bulan. Kebesaran lailatul qadar adalah berdasarkan dua perkara. Pertamanya, kerana pada malam tersebut diturunkan al-Quran dan keduanya pada malam tersebut akan turun para malaikat dalam suatu angkatan yang besar, penuh gilang gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang-orang berpuasa dengan ikhlas.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
"Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata:" Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku." Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Kasturi." (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim dari hadith Abu Hurairah RA.)
Kesimpulannya memang terlau besar nikmat dan ganjaran pahala yang dianugerahkan Allah kepada umat islam. Rugilah jika kita tidak bersama-sama merebut untuk melipat ganda amalan di bulan mulia ini. Jadikan ramadhan sebagai universiti yang mengajar kuliah-kuliah ibadah, tutorial-tutorial iman, assignment-assignment taqwa dan amali-amali agama. Semoga kita beroleh ijazah keredhaan-Nya pabila tibanya syawal nanti. Rugilah jika kita mensia-siakan ramdhan ini kerana tidak ade siapa yang mengetahui adakah kita akan bertemu ramdhan tahun hadapan.
Akhir kata selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak kepada seuae umat islam. Semoga kite semua akan memanfaatkan ramdhan kali ini dengan sebaiknya dan beroleh rahmat serta keampunan daripada Allah Yang Maha Agung. Semoga Ramadhan ini adalah yang tebaik dan penuh makna.