Wednesday, December 8, 2010

Selamat Datang 1432H...

Dengan nama Allah yg Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Segala puji bagi Allah SWT. Pemilik sekalian alam dan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW,ahli keluarganya,sahabat-sahabat baginda, Rasul plihan yang mempunyai sifat dan akhlak yang mulia serta terpuji,kekasih Allah dan kesayangan umat..

Alhamdulillah tahun baru hijrah 1432H telah pun tiba.Saya yang dilahirkan sebagai seorang muslim memanjatkan kesyukuran ke hadrat ilahi kerana  telah dipanjangkan umur dan masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan sebagai hamba Allah di tahun baru hijrah ini. Bila tibanya tahun baru mesti nak buat macam-macam azam tapi selalunya tidak sampai 100% azam tu akan dilaksanakan bila sampai penghujung tahun. Kalau bercakap pasal azam ni mestilah nak buat sesuatu ke arah yang lebih baik atau berhijrah ke arah kebaikan. Saya sendiri  juga penahlah la tanamkan azam ni dan ada yang berhasil tapi ada juga yang masih belum  terlaksana.
Tidak ada manusia di dunia ni yang sempurna sebab kita bukan seperti Rasulullah Saw yang bersifat maksum. Banyak perubahan diri atau anjakan paradigma yang mesti dilakukan. Berubah daripada yang tidak bagus kepada yang lebih bagus sebenarnya adalah fitrah manusia yang sentiasa inginkan kebaikan di dalam hidupnya. Sudah semestinya kita mahu hari ini lebih baik daripada semalam,hari esok lebih baik daripada hari ini dan tahun ini lebih baik daripada tahun tahun yang lepas. Seandainya kita tidak mahu memperbaiki keadaan diri, kita akan menggelongsor, merudum dan terjelepuk di lopak kehidupan yang sama.
Saya ada terbaca dalam satu artikel i luv islam dimana ada 3 pendekatan untuk berubah. Saya ingin berkongsi sedikt melalui apa yang telah dibaca sebagai panduan kepada diri sendiri dan sesiapa sahaja yang berusaha untuk berubah. 3 pendekatan itu ialah yang pertama evolusi, kedua reformasi, dan yang ketiga revolusi. Evolusi ialah perubahan yang sedikit tapi dilakukan secara berterusan. Ia mudah dilaksanakan kerana kita boleh lakukannya hari ini, malah sekarang juga. Contahnya memutar jam lebih awal 15 minit untuk bangun pagi agar tidak lewat sampai ke pejabat, makan sebelum jam 8.00 malam untuk menjaga kelangsingan tubuh atau menahan amarah ketika memegang stereng kereta. Bagaimana pun, kesannya hanya sedikit dan tidak ketara.Namun ia merukan salah satu langkah awal ke arah perubahan diri. Reformasi pula ialah  perubahan dalam bentuk yang kedua serta lebih inovatif. Dan perubahan ini menemukan jawapan melalui pemikiran lateral. Kita bukan sahaja mempercepatkan jam 15 minit lebih awal supaya bangun lebih cepat, tetapi turut tidur lebih awal. Kita bukan sahaja makan sebelum jam 8.00 malam, tetapi mula bersenam. Kita bukan sahaja menahan amarah ketika memandu, tetapi memasang lagu-lagu nasyid di dalam kereta untuk memperoleh lebih ketenangan. Cara ini lebih reformatif kerana ia memerlukan pemikiran di luar kotak. Perubahan evolusi dan reformasi boleh dilakukan untuk melakukan perubahan secara kecil dana sederhana.
 Tetapi jika ingin melakukan perbuahan yang besar pendekatan revolusi perlu dilakukan yang dinamakan hijrah.  Pengajaran daripada hijrah Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Madinah ialah, ia merupakan perpindahan fizikal dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Dari segi mental, ia meninggalkan satu kebiasaan untuk membina satu kebiasaan yang lain. Dan daripada segi spiritual, ia memerlukan kekuatan rohani untuk menjayakan sesuatu perubahan itu. Hijrah adalah perubahan total dengan meninggalkan suasana fizikal , pola pemikiran dan amalan spiritual yang menjadi anutan selama ini. Misalnya, daripada hidup bersama ibu bapa kepada berumahtangga sendiri, daripada makan gaji kepada bekerja sendiri dan daripada menjadi makmum kepada menjadi imam. Hijrah, atau perubahan revolusioner itu memerdekakan fizikal, mental dan spiritual seseorang. Ia menyerlahkan kehebatan seseorang individu itu. Malah, ia memberi erti kepada maksud kehidupan seseorang individu itu sendiri.
Jika kita hanya mampu melakukan hanya pendekatan evolusi dan reformasi itu juga sudah cukup baik. Perubahan boleh dilakukan sedikit demi sedikit. Yang paling penting sebenarnya nawaitu untuk berubah. Selepas itu perlulah berusaha untuk melakukan tindakan ke arah perubahan. Dan selebihnya hanya berdoa kepada Allah semoga mempermudahkan segala urusan kita dalam melaksanakan perubahan. Sebenarnya yang paling susah ialah istiqomah dalam perubahan yang telah dilakukan. Saya juga sendiri susah untuk melakukan istiqomah dalam diri sendiri. Banyak halangan,rintangan dan cabaran yang perlu dilakukan untuk beristiqomah.Seorang pelajar yang beroleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tidak mudah untuk mengekalkan kecemerlangan kalau tidak mengekalkan kerajinannnya. Begitu juga lah dengan istiqamah dalam melakukan perubahan ke arah kebaikan. Yang paling penting disini tidak berputus asa untuk terus melakukan perubahan. Sebagai muslim, apa yang boleh dilakukan ialah berserah diri dan bertawakal kepada Allah serta memohon agar kita diberikan jalan yang terbaik dalam melakukan perubahan. Saya berdoa agar kita sumua beroleh rahmat dan keberkatan dalam tahun baru hijrah ini.-amin-
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” (Surah Ar-Ra'd Ayat 11)



No comments:

Post a Comment